Tuesday, October 15, 2013

KISAH ANAK PENJUAL NASI LEMAK

Segala aturan Allah pasti ada sebabnya...


KISAH ANAK PENJUAL NASI LEMAK

Zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling gembira dalam hidup hampir setiap orang. Waktu ini, tidak tergalas segala beban dan tanggungjawab, hanya bergembira dan meluangkan waktu dengan rakan-rakan untuk bermain. Namun, tidak bagi saya, tatkala kanak-kanak lain sibuk bersiap-siap awal pagi untuk ke sekolah, saya dan adik beradik yang lain akan bangun awal sebelum Subuh lagi, bagi membantu abuya dan ummi membungkus dan menjual nasi lemak setiap hari sebelum ke sekolah.

Tatkala anak-anak lain sibuk membilang duit untuk membeli mainan baru, saya sibuk mengira duit untuk mengira jumlah nasi lemak yang terjual setiap hari setelah tiba di rumah selepas waktu persekolahan.

Apabila tiba musim cuti persekolahan, kawan-kawan sayalah yang paling gembira, waktu ini mereka mula merencana untuk memenuhi waktu cuti dan berkira-kira mahu berjalan-jalan bersama keluarga. Tapi tidak bagi saya kerana sibuk membantu abuya dan umi hingga tengahari menjual nasi lemak di gerai.

Seringkali saya memberontak kerana jiwa muda saya ketika itu sama seperti kanak-kanak lain juga, cemburu melihat rakan bermain basikal, dan mengejar rama-rama di padang, menangkap ikan di sungai dan memasang jerat burung di sawah.Saya sering termenung memikirkan nasib saya sebagai anak penjual nasi lemak. Saya mula berdendam dengan abuya kerana dipaksa bekerja sedang jiwa saya tak rela!

”Ummi, basit tak laratlah asyik kena suruh berniaga ja…. Basit budak-budak lagi, kenapa kena buat semua ni, ummi??” Adu saya pada ummi. Ummi memandang wajah saya dan tersenyum. Lalu ummi membelai ubun-ubun saya dengan kasih sayang seraya menjawab lembut,

“Basit…, abuya dan ummi buat semua ni untuk basit.. basit anak yang soleh kan...?” Ummi memandang wajah saya dengan penuh kasih sayang dan tenang sekali.
“Tapi ummi, basit nak juga macam orang lain.., orang lain tak kena berniaga pun! Kenapa basit pula yang kena….??”

“Basit, basit anak yang soleh kan? Basit akan faham suatu hari nanti, kenapa ummi dan abuya ajarkan semua ini kepada basit..”, senyum ummi tika itu benar-benar buat saya tenang.
Pesanan ummi masih segar di dalam ingatan saya. Baru kini saya mengerti. Baru sekarang saya faham kenapa. Terima kasih ummi! Terima kasih kerana ajarkan basit ilmu ini!

Jika tidak diajar untuk kuat berusaha dari kecil, mungkin sekarang saya tidak kuat sebegini. Ilmu itu ummi berikan ketika saya masih kecil. Cuma saya sahaja yang tidak faham.

Banyak ilmu yang ummi dan abuya ajarkan tanpa saya sedar. Ilmu itu mereka tidak beritahu secara lisan, tapi mereka tarbiah saya melalui tindakan. Mereka mahu saya berfikir dan gunakan ilmu ini untuk pegangan saya di masa hadapan.

Dan kini, saya sudah faham!

Ps: Mahu tahu apa lagi ilmu yang mereka ajarkan kepada saya, jumpa saya untuk tahu rahsia membina jualan yang laris!

0 comments:

Post a Comment